FikriNordin (FN)

Pulau Bohey Dulang Semporna Yang Menakjubkan

Trip ke Pulau Bohey Dulang, Tatagan, Sibuan dan Mantabuan

Pulau Bohey Dulang adalah antara destinasi untuk hari ketiga. Inilah antara tempat yang FN nak sangat pergi. Sebabnya ialah pemandangan di atas puncaknya boleh dianggap antara pemandangan tercantik di Semporna atau di Sabah amnya. Selain Pulau Bohey Dulang, ada lagi destinasi menarik iaitu Pulau Tatagan, Pulau Mantabuan dan Pulau Sibuan.  Semporna sangat bertuah dikurniakan pulau-pulau yang cantik.

Awal pagi lagi dah bangun bersiap untuk memulakan aktiviti. Jam 7.30am keluar bersarapan di restoran Bismilah. Inilah satu-satunya restoran mamak yang FN jumpa di Semporna. Mungkin pemiliknya sahaja mamak sebab hampir kesemua pekerjanya adalah melayu.

Bila dah makan di restoran mamak, sudah pasti menu pilihan ialah roti telur + teh tarik yang berharga RM4.50. Cukuplah untuk alas perut sebab kalau makan berat nanti tak larat mendaki Bohey Dulang.

Pulau Tatagan

Sewaktu menuju ke Bohay Dulang, bot akan melalui Pulau Tatagan terlebih dahulu. Terdapat penempatan etnik bajau laut di sini. Memang agak cantik dengan puncak gunung yang tersergam indah. Airnya yang jernih menampakkan terumbu karang dan ikan-ikan. Terdapat kawasan paya bakau tetapi seperti tiada pantai berpasir  yang luas di sini.

Sebaik sahaja bot berhenti di sini, etnik bajau laut yang hanya berperahu akan menyerbu bot-bot yang ada untuk meminta makanan. Kalau ada yang beri makanan, maka bersiap sedialah untuk diserbu oleh ramai lagi kaum kerabat mereka.

Jangan panik ketika di sini sebab etnik bajau laut ni bukannya ganas dan mereka tak makan orang. Memang cekap etnik bajau laut ni berperahu tak kira tua muda semuanya hebat. Menurut kata boatman, ada juga yang faham bahasa inggeris disebabkan kerap dikunjungi pelancong luar.

Kelihatan puncak gunung yang tersergam indah dan air yang menghijau
Hidupan dasar lautnya masih terpelihara dan airnya jernih tanpa sebarang pencemaran walaupun berada di kawasan penempatan Bajau Laut
Sekumpulan etnik bajau laut yang menyerbu bot-bot yang singgah ke sini untuk mendapatkan makanan.

Pulau Bohey Dulang

Setelah 15 minit di Pulau Tatagan, kami terus menuju ke Pulau Bohey Dulang. Sampai sahaja di sini, sudah banyak bot berada di jeti dan orang pun agak ramai. Dari jauh sudah nampak puncak yang bakal ditakluk. Untuk naik ke puncak, pastikan kasut yang sesuai dipakai sebab treknya agak berlumpur dan licin. Waktu FN naik ke atas pun ramai yang bawa anak kecil.

Seeloknya tak perlulah bawa anak-anak kecil sampai ke puncak. Laluannya sangat bahaya dan berisiko untuk tergelincir. Kecuali kalau anda seorang yang berstamina tinggi dan fizikal yang kuat. Dari jeti menuju puncak dipenuhi deretan manusia yang menyelusuri latisan. Sambil acah2 hiker kental walaupun dengan aksi kekurangan oksigen.

Kelihatan bot-bot yang sampai lebih awal dari kami
Dari atas jeti boleh nampak pemandangan yang sangat cantik. Air di pulau ni sangat tenang dan jernih ibarat macam air tasik dan secara tak sengaja FN teringatkan Tasik Dayang Bunting di Langkawi..
Inilah puncak Bohey Dulang dengan ketinggiannya adalah 600m.
Keadaan di jeti.  Kalau boleh elakkan pergi pada hujung minggu atau musim cuti sebab kesesakan yang amat sangat bila hari cuti.

Punncak Bohey Dulang Yang Mempersona

Melihatkan pemandangan dari puncak terus hilang segala penat lelah mendaki.
Antara pemandangan yang menakjubkan ketika di puncak

Setelah berpenat lelah mendaki, akhirnya sampai juga di puncak Bohey Dulang. Hampir 1 jam juga mendaki disebabkan orang yang terlalu ramai dan trek yang agak licin. Bila sampai di puncak hilang segala penat lelah melihatkan pemandangan yang sangat menakjubkan.

Nasib juga menyebelahi kami sebab cuaca sangat baik dan kalau hujan kami tak dibenarkan naik ke puncak. Di atas puncak pun agak ramai orang dan terpaksa mencelah-celah untuk mencari posisi terbaik untuk bergambar.

Gambar ni antara trek yang cantik tetapi lebih 50% laluannya adalah berlumpur dan licin serta hanya berpijak pada batu-batu sahaja. Waktu turun ni nasib malang menimpa FN sebab tapak kasut pula dah mula terkopak. Agak susah juga nak berjalan dengan keadaan kasut macam tu tapi nasib baik selamat sampai ke bawah.

Pulau Mantabuan

Setengah hari juga kami di Bohey Dulang. Destinasi seterusnya adalah di Pulau Mantabuan yang tak jauh pun dari Bohey Dulang lebih kurang 15 minit. Di sini kami hanya berhenti untuk makan tengah hari dan bergambar sahaja. Di pulau ni juga sama seperti pulau lain yang mana terdapat etnik bajau laut yang menetap di sini walaupun jumlah mereka kecil. Bahang mentari mula membakar kulit muka sebab sampai kat pulau ni dah tengah hari.

Di sini juga ditempatkan anggota keselamatan yang sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

Pulau Sibuan

Dari Mantabuan terus menuju ke destinasi terakhir iaitu Pulau Sibuan. Pulau ni boleh dianggap antara yang tercantik di Semporna. Pantainya yang berpasir putih dan memanjang ke laut. Ianya tak ubah seperti tanjung terutamanya ketika air surut serta airnya juga sangat jernih.

Pulau ni pun takde la besar sangat dan tiada resort dibina di pulau ni. Nampaknya sang mentari semakin garang dan taknak bertolak ansur. Bahang mentari semakin membara meresap segenap ruang hingga ke tulang temulang. Siap sedialah dengan sunblock walaupun mcm tak membantu sangat.

Seperti pulau lain, kat sini pun ada anggota keselamatan.
Jika air surut, memang nampak lebih jelas pantai berpasir yang memanjang ke arah laut.
Anak kecil etnik bajau laut mencari makanan walaupun sekadar sisa makanan. Bersyukurlah kita dengan rezeki yang ada.
Sekumpulan etnik Bajau Laut. Mungkin sedang bermesyuarat.

Agak lama juga kami di sini iaitu hampir 2 jam. Aktiviti kat sini adalah Snorkeling di tepi pantai dan bergambar di bawah terik mentari. Memang sangat panas cuaca kat sini. Walaupun pakai sunblock kulit tetap rentung. Jam 4pm kami pun bergerak pulang ke jeti Semporna sekaligus menamatkan island hoping untuk hari yang kedua.

Sampai di Pekan Semporna terus balik ke bilik memandangkan hari ni agak letih. Selepas tu keluar makan sekejap. Memang tak dinafikan menu berasaskan makanan laut ni agak murah di sini. Sangat senang nak jumpa restoran seafood.  Selepas makan malam hanya berehat di bilik sahaja  sementara tunggu masa nak tidur sebab keletihan mendaki bohey dulang dan berendam di Pulau Sibuan.

Artikel berkaitan untuk trip 4 hari 3 malam di Semporna Sabah: