FikriNordin (FN)

Tempat Menarik Di Sabah Yang Harus Dilawati

Tempat menarik di Sabah sentiasa menggamit kunjungan pelancong. Setiap tahun Sabah sentiasa menjanjikan tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi ditambah pula dengan promosi syarikat penerbangan yang merancakkan lagi industri pelancongan di Sabah. Di zaman kegemilangan media sosial sekarang telah menambahkan lagi populariti Sabah. Merangkumi gunung ganang, laut, sungai sememangnya Sabah memang kaya dengan keindahan alam semulajadi.

FN juga berpeluang menjejakkan kaki di Sabah dan telah meneroka hampir separuh Sabah. Kunjungan 4h3m sememangnya tidak mencukupi untuk menakluk tempat menarik di Sabah. FN bernasib baik kerana ada kawan di Sabah yang sedikit sebanyak membantu dari segi pengangkutan dan kelebihan dia sebagai orang Sabah untuk nego dan dapatkan harga yang murah bila urusan jual beli. Untuk menuju ke tempat menarik di Sabah ni memang perlukan pengangkutan samada sewa kereta atau guna agen. Perkhidmatan bas macam agak sukar.

Sedikit perkongsian FN semasa ke sana tidaklah tersusun rapi. Perancangan sememangnya tak diatur sangat sebab mengharapkan kawan di sana untuk membantu. Memandangkan kawan FN di Tawau, FN buat keputusan untuk terus terbang ke Tawau Airport. Nak diikutkan perancangan, FN akan terus bergerak ke Kundasang dan akan bermalam di Kundasang. Hari Ketiga Sepatutnya berada di Semporna untuk pergi ke pulau-pulau di sana.

Pada peringkat awal, segalanya bermula baik tapi kita hanya merancang tuhan yang menentukan. Perjalanan dari Tawau ke Kundasang agak menyeronokkan. Ditemani hutan hijau yang masih terpelihara dan keadaan trafik yang agak baik. Malang tidak berbau apabila menghampiri pekan Telupid yang mana tayar kereta kawan FN pecah akibat termasuk dalam lubang yang agak besar di tengah jalan tersebut.

Jam menunjukkan sekitar jam 8pm. Suasana agak sunyi tetapi masih ada kenderaan lalu lalang di situ. Kawan FN cuba dapatkan bantuan kawan-kawannya bagi menggantikan tayar dan alat untuk buka tayar tersebut. Lebih kurang jam 11pm ada kawannya yang menghantar tayar spare tapi malangnya alat untuk buka tayar tersebut tak sesuai untuk digunakan. Kesimpulannya terpaksalah kami bermalam di situ dan mujurlah ada kawasan bengkel motor dan kedai-kedai untuk kami berteduh. Ini bermakna perancangan kami dah jauh tersasar sebab tak dapat bermalam di Kundasang pada malam tersebut. Perjalanan diteruskan keesokannya setelah masalah tayar tersebut selesai.

Kundasang Lokasi Percutian Tanah Tinggi Yang Menarik

Setelah mengharungi perjalanan yang panjang, akhirnya tiba juga di Kundasang jam 12pm. Kami menginap di Mountain Resthouse yang berdekatan dengan Kinabalu Park. Ini antara tempat yang termurah untuk bermalam di Kundasang. Di pekan Kundasang agak meriah dengan jualan sayur segar. Maklumlah aktiviti pertanian memang sinonim dengan Kundasang. Bukan setakat sayur, buah-buahan dan makanan juga banyak di sini yang boleh membuatkan kita jadi rambang mata.

Setelah berehat dan mandi, kami makan tengah hari kemudian terus bergerak ke Dairy Farm.

Dairy Farm Tempat Menarik di Sabah Untuk Dikunjungi

Tiba di dairy Farm sekitar jam 3pm. Kalau nak datang ke sini sebaiknya sebelum 4pm kerana waktu operasi adalah 8am-5pm. Lagipun kat sini jam 5pm pun dah nak gelap. Kalau teringin nak merasai suasana seperti di New Zealand, di sinilah lokasinya. Pemandangan di sini memang cukup menarik dengan berlatarkan gunung dan lembu-lembu berkeliaran.

Memandangkan waktu malam di Sabah lebih awal berbanding semenanjung, tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat selepas jam 5pm kerana kebanyakan tempat sudah pun tutup.

Kinabalu Park

Antara tempat menarik di Sabah ialah Kinabalu Park. Kami sempat singgah di Kinabalu Park sebaik sahaja pulang dari Dairy Farm. Cuma tidak berkesempatan untuk masuk ke situ disebabkan sudah lewat petang. Pemandangan di sekeliling Kinabalu Park juga agak cantik ditambah pula dengan suhu yang sejuk sekitar 15-18 celcius.

Kalau nak diikutkan itinerari asal, kami akan bergerak balik ke Tawau kerana keesokannya akan masuk ke pulau di kawasan Semporna tapi disebabkan perjalanan kami sebelum ni telah tersekat di Pekan Telupid maka itinerari telah berubah sepenuhnya.

Sebelah malam tiada aktiviti nak dibuat, berehat di guesthouse bertemankan suhu yang sangat sejuk sambil menikmati minuman panas. Memang terasa tenang jiwa sewaktu di sini.  Kalau bermalam di sini memang kena standby jacket sebab suhu malam sekitar 10 darjah celcius. Apatah lagi waktu malam tu pula hujan turun membasahi Kundasang.

Pemandangan Gunung Kinabalu Yang Memukau

Keesokan paginya kami bergerak ke Kota Kinabalu untuk meneroka pulau-pulau di sana. Sebelum tu sempat singgah sebentar di kawasan Kundasang untuk bergambar berlatar belakang Gunung Kinabalu yang tersergam indah dan cuaca juga sangat baik.

Nak bergambar kat sini bukan senang sebab kebiasaannya gunung tu terlindung di sebalik kabus kebal. Tapi nasib FN agak baik sebab waktu pagi agak baik cuaca di sini sekaligus menampakkan Gunung Kinabalu yang tersergam indah.

Pulau-pulau Menarik di Kota Kinabalu

Kota Kinabalu bukan setakat terkenal dengan gunungnya bahkan juga pulau-pulau di sini turut menggamit kunjungan pelancong. Ia juga adalah tempat menarik di Sabah yang boleh dijadikan pilihan untuk disinggah. Sebaik sampai di jesselton Point, kami mula survey harga untuk masuk ke pulau-pulau berdekatan. Jam pun dah menunjukkan 11am. Tak banyak pulau yang kami boleh singgah. Sempat pergi ke 2 pulau sahaja dengan harga RM33.

Pulau Manukan

Pulau Manukan merupakan pulau pertama yang kami singgah. Jarak perjalanan lebih kurang 10 minit dari Jesselton Point. Persekitaran pulau yang cantik. Dari jeti nampak Air yang jernih serta pantai yang bersih dan putih melepak. Sesuai untuk bersantai dan mandi manda. cuma bila nak mandi di pantai tu agak sedikit kurang jernih kalau nak dibandingkan dengan air dekat jeti tu. Mungkin sebab faktor orang yang terlalu ramai.

Pemandangan dari atas jeti

Kami di sini lebih kurang 2 jam sahaja dan ada bot datang ambil untuk ke pulau yang kedua iaitu Pulau Mamutik. Sangat dekat sebenarnya lebih kurang 5 minit.

Pulau Mamutik

Kerjernihan air di Mamutik ni tidaklah sejernih Pulau Manukan. Ditambah pula keadaan laut yang sedikit berombak. Tapi tetap ramai yang mandi-manda dan bersantai di sini.

Arus yang agak kuat di sini

Selepas puas bersantai di 2 buah pulau tu kami terus pulang ke Kundasang. Singgah sebentar di Pasar Kundasang membeli sedikit barang dapur untuk di masak di Resthouse tempat kami menginap. Menunya pun ala kadar je. Cukuplah buat alas perut. Dapat juga rasa sayur segar di Kundasang ni.

Keeseokannya pada awal pagi terus bergerak pulang  ke Tawau.. Memang sangat sejuk berbanding hari sebelumnya. Dalam perjalanan singgah sebentar di Ranau untuk sarapan. Cuaca di Ranau masih lagi sejuk dan sepanjang jalan hujan masih renyai-renyai.

Ketika melalui Telupid, sempat perhatikan tempat kami tersadai akibat tayar pecah tu. Nampaknya jalan berlubang tu dah ditampal. Kenapalah tak ditampal awal-awal. Kalau tak mesti perjalanan waktu ke Kundasang tu takde masalah. Hrrmm..Apa boleh buat, dah ditakdirkan begitu.

Destinasi terakhir FN adalah di Air Terjun Kunak.. lokasinya di tepi jalan sahaja iaitu selepas melalui Lahad Datu. Untuk masuk dikenakan bayaran RM5 untuk dewasa.

Air Terjun Kunak Yang Memukau

Air terjun Kunak ni memang sangat cantik dan airnya memang jernih. Kebetulan orang pun tak ramai waktu FN sampai ke sini. Cuma agak terkilan sebab tak sempat nak mandi. Celup2 kaki & bergambar je..Malas nak basahkan pakaian. Lagipun nak kejar flight jam 4. memang agak rushing.

Lebih kurang sejam di air terjun terus bertolak ke Airport Tawau. Masa perjalanan lebih kurang 1 jam. FN sampai di Airport jam 3.15pm. Nasib baik sepanjang perjalanan semua ok.

Flight Air Asia mcm biasa ada delay sikit. Lebih kurang 4.20 baru masuk flight dan terus terbang meninggalkan Sabah dengan 1001 kenangan pahit & manis. Masih banyak lagi tempat menarik di Sabah yang belum diteroka. Semoga berjumpa lagi pada masa akan datang sebab matlamat FN adalah nak menjejakkan kaki ke pulau-pulau di Semporna.